Fazura serah gaun koyak dan kasut sebagai bukti

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini diberitahu, pelakon Fazura menyerahkan gaun pendek yang koyak di bahagian dada dan kasut tumit tinggi yang dipakainya ketika bergaduh dengan seorang suri rumah di sebuah kelab di sini, dua tahun lalu, kepada polis bagi membantu siasatan.

Pegawai Penyiasat kes, Ketua Inspektor Mohamed Mohd Jais, 36 tahun, berkata Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 24 tahun, menyerahkan dua bahan bukti itu ketika hadir ke pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.

Inspektor Mohamed berkata mengikut perbualan yang dirakamkan daripada Fazura, gaun berwarna hitam tanpa lengan yang dipakainya pada malam kejadian, koyak di bahagian dada ditarik suri rumah itu, Cik Geraldine Mariana Wong, 32 tahun, ketika mereka bergaduh.

‘Fazura juga menyerahkan kasut yang digunakannya untuk memukul Geraldine dan mendakwa pergaduhan itu berpunca daripada mangsa yang membangkitkan kemarahannya dengan bercakap perkara yang tidak betul dan buruk mengenai dirinya.

‘Fazura mendakwa, Geraldine yang duduk bersama rakannya beberapa kali memandang ke arahnya menyebabkan dia bersemuka dengan mangsa dan bertanya sama ada beliau mempunyai masalah dengannya.

‘Bagaimanapun pertengkaran tercetus selepas Geraldine berkata: ‘Tiada apa, cuma awak cantik! Tapi jika sayangkan teman lelaki awak, mengapa dia menggoda saya?’ sambil memanggil teman lelaki Fazura datang ke arah mereka,’ katanya.

Siasatannya mendapati berlaku pertikaman lidah antara Fazura dengan Cik Geraldine sebelum mereka dileraikan.

Fazura bagaimanapun kembali menghampiri mangsa dan memukulnya dengan kasut.

Perbicaraan bersambung 4 Jun ini. – BHM.
http://cyberita.asia1.com.sg/

Gol & Gincu musim kedua

Oleh
Freda

PEMINAT drama bersiri Gol & Gincu yang semakin tertarik hati menonton drama ini di saluran Suria setiap Selasa pastinya tidak sabar menantikan sambungannya.

Gol & Gincu terbitan Red Communications ini dibintangi oleh aktres Fazura, Rafidah Abdullah, Pierre Andre, Ashraf Sinclair dan pengacara Sazzy Falak.

Freda difahamkam, bukan sahaja golongan remaja yang minat menontonnya. Ramai juga penonton dewasa yang turut menontonnya setiap Selasa.

Menurut ketua penulis skrip drama popular ini, Rafidah Abdullah:

‘Memang drama sebanyak 13 episod ini akan disambung dengan musim kedua kami yang akan memulakan penggambarannya pada bulan ini dan kami akan kekalkan pelakon-pelakon yang sama juga melainkan Kartini yang berada di luar negara untuk menyambung pengajiannya di sana.’

Freda diberitahu ramai juga penonton Singapura yang memberikan maklum balas positif menerusi blog untuk drama ini meminta agar drama ini diterbitkan untuk musim kedua pula.Tambah Rafidah minggu lepas:

‘Isu-isu sosial yang kami paparkan akan dikembangkan untuk musim kedua nanti kerana kami mempunyai beberapa penulis skrip untuk musim kedua juga.’

Freda: Jurucakap Suria memberitahu Freda bahawa musim kedua drama bersiri Gol & Gincu ini akan turut ditayangkan nanti.

http://cyberita.asia1.com.sg/

Tolak tepi gosip dengan Hady

PELAKON serta pengacara rancangan MTV Jus, Fazura, lebih selesa membiarkan pihak media mahupun peminat membuat andaian mereka sendiri ketika ditanya mengenai gosip hubungan beliau bersama pemenang Singapore Idol, Hady Mirza.

Sebelum ini, ada peminat Fazura mendakwa pernah melihat Hady Mirza menghantar Fazura di Lapangan Terbang Changi.

Ketika dihubungi minggu lepas untuk mendapatkan kepastian daripada mulut Fazura sendiri, Fazura hanya mampu menjawab: ‘Saya tidak akan kata ya atau tidak mengenai gosip itu.’

Meskipun gadis tersebut cuba mengelak ketika diasak pertanyaan mengenai gosip tersebut, beliau sempat memberitahu Freda:

‘Biarlah kisah peribadi saya menjadi rahsia saya Freda. Inilah yang tak dapat saya kongsi bersama dengan orang lain.’

Fazura yang turut terlibat untuk musim kedua drama bersiri Gol & Gincu terbitan Red Communications ini telah pun tamat menjalani penggambaran drama-drama berjudul Datin Diari dan Kasih Suci, baru-baru ini.

Freda: Dengar-dengar Fazura berusaha merealisasikan impiannya menjadi penyanyi juga seperti rakan baiknya, pengacara Cheryl Samad.

http://cyberita.asia1.com.sg/