Nur Fazura saman akhbar RM500,000

31 Aug

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Gol & Gincu, Nur Fazura Sharifuddin, memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM500,000 terhadap akhbar tabloid, Mingguan Warta Perdana dan wartawannya berikutan artikel bertajuk ‘Fazura Rela Dipenjara’, yang didakwa menjatuhkan maruahnya.

Nur Fazura atau lebih dikenali, Fazura, 22, melalui peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan dan Muhammad Nasim Shafie, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Wisma Denmark, kira-kira jam 2.30 petang semalam..

Fazura menamakan dua defendan dalam samannya, Perdana Production House Sdn Bhd iaitu syarikat yang menerbitkan akhbar Mingguan Warta Perdana dan wartawannya, Haslinda Hashim.

Fazura mendakwa Haslinda yang menulis artikel berkenaan membuat kenyataan bahawa ‘Fazura Rela Dipenjara’ dan ‘Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut’.

Artikel itu dikeluarkan berikutan Fazura pada 9 Mei lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencederakan suri rumah, Geraldine Mariana Wong, 30, di Bar Luna, Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng, di sini, jam 1.20 pagi, 19 Disember tahun lalu.

Kes itu akan dibicarakan pada 26 April tahun depan.

Fazura yang memenangi anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-17, Jun tahun lalu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada wartawan terbabit.

Dalam pernyataan tuntutannya, Fazura yang sebelum ini membintangi filem Qaisy & Laila menyatakan artikel itu disiarkan pada muka surat pertama akhbar berkenaan pada 29 Mei lalu.

Katanya, kenyataan itu menjatuhkan imejnya kerana ia secara tidak langsung menunjukkan beliau mengaku mencederakan Geraldine.

“Kenyataan yang disiarkan itu amat menyeleweng, merendah dan menjatuhkan maruah saya. Kenyataan itu mendedahkan saya kepada kebencian, malu dan ejekan,” katanya.

Fazura mendakwa kenyataan itu secara tidak langsung memberi kesan yang serius berhubung tanggapan orang ramai terhadap kesnya yang sedang dibicarakan serta imejnya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan akan tercalar.

Sehubungan itu, Fazura mendakwa beliau mengalami tekanan mental dan emosi serta menanggung malu yang amat sangat dan mengalami kesukaran untuk berdepan dengan masyarakat dan keluarga.

Fazura melalui Tetuan Azaine & Fakrul pernah menghantar surat bertarikh 3 Jun lalu dengan menuntut kedua-dua defendan memberi aku janji untuk tidak mengulangi atau membuat kenyataan sedemikian serta memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, kedua-dua defendan gagal berbuat demikian.

Selain menuntut ganti rugi am berjumlah RM500,000, Fazura juga menuntut faedah pada kadar empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh saman difailkan, faedah lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos tindakan, ganti rugi teladan dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berita Harian

2 Responses to “Nur Fazura saman akhbar RM500,000”

  1. Peminat Industri Perfileman Malaysia July 23, 2007 at 12:00 pm #

    Lain kali, kalau nak tulis apa2, biar yang benar sahaja. Jangan sampai menjatuhkan maruah orang lain, tambahan lagi kepada perkara2 yang tak benar. Bagaimana kalau diri kita yang difitnah? Tentu perit rasanya. Tidak hanya wartawan, namun sesiapa sahaja termasuk orang awam. Jauhilah fitnah. Jangan dunia, kita lupa akhirat.

    Apapun, sebagai umat Islam, bermaaf-maafanlah kamu. Tiada manusia yang sempurna selain nabi. Setiap ujian, pasti ada hikmah disebaliknya. Tidak perlu bermusuhan, Allah akan membantu orang yang bersabar. Dunia hanya sementara.

    Semoga Industri Perfileman Tanahair Terus Maju dengan Artis dan bantuan Wartawan, yang keduanya turut menjadi tunggak utama dalam industri tersebut.

  2. Mat Cendana November 10, 2009 at 9:19 am #

    Salam,
    I’m sorry to hear about the court decision concerning the suit today.

    I had worked as a fulltime reporter before, with an English language newspaper. Ini bukan nak perlekeh, tapi saya tahu ” teknik penulisan” sesetengah mereka ni – Walaupun seseorang itu tidak kata, penulis pandai-pandai buat quotations seolah-olah keluar dari mulut dia. How can you prove it then? Memang payah!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: