Archive | January, 2006

Mingguan Perdana nafi malukan Nur Fazura

27 Jan

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Penerbit akhbar tabloid Mingguan Warta Perdana dan seorang wartawannya yang disaman fitnah oleh Nur Fazura Sharifuddin, menafikan bahawa artikel yang disiarkan oleh akhbar itu adalah satu rekaan yang berniat untuk menjatuhkan imej dan memalukan pelakon tersebut.

Sebaliknya, Perdana Production House Sdn. Bhd. (PPH) dan Haslinda Hashim selaku defendan pertama dan kedua mendakwa bahawa kenyataan dalam artikel itu adalah benar, tulen dan ikhlas.

Mereka juga mendakwa bahawa artikel itu bukan secara langsung menyatakan dan memberi gambaran yang Nur Fazura telah membuat pengakuan dalam satu kes jenayah yang dihadapinya.

Defendan kedua menyatakan, dia telah menemuramah pelakon itu pada hujung Mei tahun lalu berhubung kes pergaduhan di sebuah kelab di ibu negara ekoran cadangan editornya.

Berikutan itu, Haslinda mendakwa bahawa perbualannya dengan Nur Fazura melalui telefon seperti yang dinyatakan adalah benar, hakiki dan mempunyai alasan yang kuat.

“Tidak ada gambaran bahawa plaintif telah mengaku salah sebelum dibicarakan. Yang penting, plaintif menerima hakikat jika ia didapati salah oleh mahkamah,” menurut defendan kedua.

Defendan-defendan menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan mereka yang difailkan pada 17 Oktober tahun lalu.

Pernyataan pembelaan itu diperoleh oleh wartawan selepas pengurusan kes saman tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Malik Ishak di kamar beliau di sini hari ini.

Hakim tersebut menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Nur Fazura, 22, menyaman PPH dan Haslinda bagi menuntut ganti rugi RM500,000 kerana didakwa memfitnahnya menerusi satu artikel di akhbar itu yang secara tidak langsung menyatakan bahawa pelakon itu mengaku mencederakan seorang suri rumah.

Selain ganti rugi am RM500,000, Nur Fazura menuntut defendan-defendan memohon maaf secara terbuka kepadanya.

Pada 9 Mei tahun lalu, Nur Fazura mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan cedera terhadap seorang suri rumah di sebuah pusat hiburan pada awal pagi 19 Disember 2004 dan akan dibicarakan pada April ini.

http://utusan.com.my/

Juita Suwito – Beautiful Lies

17 Jan