Archive | June, 2007

Fazura serah gaun koyak dan kasut sebagai bukti

1 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini diberitahu, pelakon Fazura menyerahkan gaun pendek yang koyak di bahagian dada dan kasut tumit tinggi yang dipakainya ketika bergaduh dengan seorang suri rumah di sebuah kelab di sini, dua tahun lalu, kepada polis bagi membantu siasatan.

Pegawai Penyiasat kes, Ketua Inspektor Mohamed Mohd Jais, 36 tahun, berkata Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 24 tahun, menyerahkan dua bahan bukti itu ketika hadir ke pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.

Inspektor Mohamed berkata mengikut perbualan yang dirakamkan daripada Fazura, gaun berwarna hitam tanpa lengan yang dipakainya pada malam kejadian, koyak di bahagian dada ditarik suri rumah itu, Cik Geraldine Mariana Wong, 32 tahun, ketika mereka bergaduh.

‘Fazura juga menyerahkan kasut yang digunakannya untuk memukul Geraldine dan mendakwa pergaduhan itu berpunca daripada mangsa yang membangkitkan kemarahannya dengan bercakap perkara yang tidak betul dan buruk mengenai dirinya.

‘Fazura mendakwa, Geraldine yang duduk bersama rakannya beberapa kali memandang ke arahnya menyebabkan dia bersemuka dengan mangsa dan bertanya sama ada beliau mempunyai masalah dengannya.

‘Bagaimanapun pertengkaran tercetus selepas Geraldine berkata: ‘Tiada apa, cuma awak cantik! Tapi jika sayangkan teman lelaki awak, mengapa dia menggoda saya?’ sambil memanggil teman lelaki Fazura datang ke arah mereka,’ katanya.

Siasatannya mendapati berlaku pertikaman lidah antara Fazura dengan Cik Geraldine sebelum mereka dileraikan.

Fazura bagaimanapun kembali menghampiri mangsa dan memukulnya dengan kasut.

Perbicaraan bersambung 4 Jun ini. – BHM.
http://cyberita.asia1.com.sg/